SEBETULNYA laman ini belum selesai lagi dengan isu negara Israel yang menyebabkan perpecahan ketara di antara kepimpinan tertinggi Pakatan Rakyat. Tapi disebabkan ada isu yang lebih mendesak, maka penulis mengenepikan isu itu buat sementara waktu.
Yang penulis maksudkan ialah pergolakan dalaman yang berlaku dalam barisan Exco negeri Kedah.
Walaupun cuba diselindungkan dari pandangan umum (dan penulis akui ia dilakukan dengan baik), tapi selama mana bangkai gajah dapat disembunyikan dengan sekeping daun pisang?
Itulah perumpamaan yang sesuai untuk menggambarkan keadaan ini.
Penulis mendengar, sekurang-kurangnya 4 orang anggota Exco sudah mengosongkan bilik masing-masing dan seorang darinya dilaporkan sudah sah menghantar surat perletakkan jawatan kepada Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Razak.
Ini berikutan bantahan masing-masing ke atas gaya pentadbiran Azizan yang lembap dan tidak efisen, selain sikap keras kepala Azizan dan suka menggunakan perkataan yang tidak selayaknya diucapkan oleh seorang yang diiktiraf pemimpin Islam sepertinya.
Penulis tahu, banyak pihak dalam Pakatan Rakyat tidak menaruh harapan besar kepada negeri Kedah ini. Selain pelbagai isu yang menunjukkan kelemahan pentadbiran negeri, kepimpinan Azizan yang ditolak oleh majoriti anggota Exconya sendiri (termasuk dari PAS) juga dikenal pasti sebagai punca.
Justeru, jika tidak diambil tindakan dengan segera, harapan kecil yang masih tinggal itupun akan lenyap terus.
Dalam soal ini ramai rakan-rakan penulis mendesak campur tangan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menyelesaikan masalah di Kedah ini. PAS Pusat sudah hilang kredebiliti kerana keengganan ‘menyentuh’ Azizan yang disifatkan banyak pihak dalam parti tersebut setaraf dengan Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat.
Jadi pandangan pihak berkecuali amatlah penting, kata mereka.
Pada hemat penulis sendiri, semua masalah ini berpunca dari Azizan. Kegagalan menyesuaikan diri dengan pandangan-pandangan baru oleh golongan muda dan professional PAS yang dilantik menjadi Exco, adalah punca utama hilangnya keyakinan kepada kepimpinannya.
Jalan penyelesaian yang baik ialah mengembalikan semula kuasa melantik Menteri Besar kepada Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah. Seperti mana yang kita tahu, jawatan Menteri Besar ditentukan oleh undi keyakinan (vote of confident) oleh ahli-ahli Yang Berhormat dari parti yang memenangi pilihanraya.
Tindakan ini boleh mengelakkan perbalahan berpanjangan dan mengembalikan semula keyakinan rakyat ke atas kerajaan yang memerintah.
.........
http://suarapakatanrakyat.com
tranungkite