Thursday 2 February 2012

Najib Umpama Ayam Kena Sembelih


http://cdn.radionetherlands.nl/data/files/imagecache/must_carry/images/lead/PM%20Malaysia,%20Moh.%20Najib%20bin%20Abdul%20Razak%20-%20Wikipedia%20INA.jpg
Bagi yang  mengikuti perjalanan politik Najib sebagai Perdana Menteri sejak akhir-akhir ini pasti menyedari bahawa banyak tindakannya kebelakangan ini seperti menggambarkan beliau sudah hilang fokus, agak celaru dan tidak tetap pendirian.


Di suatu ketika beliau fokus dengan 1Malaysia dan memberi banyak keutamaan kepada menjaga hati kaum Cina dan India. Beliau juga banyak hadir di program kedua-dua kaum itu dan menghulurkan banyak bantuan kepada mereka.

Namun kemudiannya beliau kembali kepada perjuangan Melayu setelah menyedari sokongan kaum Cina tidak banyak berubah. Ucapannya dalam Perhimpunan Agung UMNO tahun lalu menyerlahkan hakikat itu.

Begitu juga dengan banyak program yang dicetus dan dihadirinya. Beliau menghadiri banyak program dan rajin bertemu rakyat tetapi fokusnya tidak jelas. Beliau seolah-oleh mahu memonopoli semua perkara tetapi sebagai manusia kita harus sedar bahawa keupayaan kita amat terhad dan tidak mungkin kita mampu melakukan semua perkara.

Begitu juga dengan Najib, dalam usaha untuk membangunkan negara dan menarik sokongan rakyat, tambahan pula pilihanraya hampir tiba, semua perkara diterjahnya. Semua pihak didekati dan cuba digunakannya tanpa menyedari bahawa kadang-kadang pihak tersebut tidak pun membawa keuntungan langsung kepadanya.

Dalam masa mengajak rakyat berjimat cermat, memotong subsidi dan memperkenalkan Kedai 1Malaysia, Najib dalam masa yang sama terus dengan agenda mewah bersama keluarga bercuti dan membeli-belah di luar negara. Ini lantas menjadikan semua usahanya bagainya sia-sia dan menjadi momokan belaka tambahan pula apabila ia didedahkan secara meluas beserta bukti-buktinya sekali melalui media.

Dalam soal memberi kenyataan juga begitu, Najib pernah agak terlanjur cakap ketika mengulas kematian Osama Bin Laden dengan mengatakan kematiannya menandakan bermulanya keamanan dunia. Najib juga tersalah cakap mengenai Dasar Ekonomi Baru, sistem pengagihan ekonomi berasaskan merit dan banyak lagi sehingga memaksanya membuat penjelasan kemudiannya.

Semakin menghampiri gerbang PRU 13, Najib dilihat makin celaru dan kadangkala cakapnya juga agak merapu terutama apabila banyak diasak dan dicabar oleh pihak pembangkang.

Keadaan in menjadikan Najib tambah tidak diyakiini oleh rakyat, bahkan kalangan ahli UMNO sendiri mula bercakap sesama sendiri mengenainya. Ramai yang tidak faham dan tidak jelas apakah puncanya yang menyebabkan Najib bersikap begitu. Rakyat sering tertanya-tanya kenapa Najib bersikap begitu sedangkan sepatutnya beliau bercakap begini atau kenapa beliau melakukan itu dan ini sedangkan ia tidak bersesuaian sama-sekali dengan masa dan keadaan.

Beberapa kelompok yang ditenui seperti bekas menteri, bekas wakil rakyat, veteran UMNO, malahan kalangan ahli UMNO sendiri ramai yag tidak faham dan tertanya-tanya apakah gerangan yang sedang menguasai pemikiran Najib sehingga beliau kini bukan sahaja dipertikaikan dalam banyak perkara, bahkan dianggap sebagai Perdana Menteri paling lemah dalam sejarah Malaysia.

Namun kesempatan berbual dengan seorang pelobi politik yang agak veteran yang dikenali sebagai Mr R agak menarik apabila ditanya mengenai tindak-tanduk Najib sejak kebelakangan ini. Mr R ini masih lagi aktif di sebuah bahagian UMNO di Wilayah Persekutuan, masih rajin berbual dan sering juga berjaga malam walaupun sudah agak veteran dan pelbagai jenis penyakit mulai berminat terhadap tubuh badannya.

Ketika musim pemilihan UMNO terutama di era pertembungan Tengku Razaleigh dengan Musa Hitam, pemilihan 1987 yang menyaksikan Tun Mahathir hampir tewas sebagai Preiden UMNO dan tahun-tahun pemilihan selepas itu, Mr R sangat aktif berkempem untuk calon-calon tertentu dan ini menjadikan beliau dikenali oleh kebanyakan para pemegang kuasa dalam negara ini.

Namun akhir-akhir ini, kritikannya terhadap UMNO makin lantang sehingga beliau dicop pro pembangkang oleh pihak-pihak tertentu walaupun niatnya ikhlas untuk melihat para pemimpim UMNO berusaha memperbaiki kelemahan yang ada di mata rakyat. Nama Najib, tentulah tidak pernah terlepas daripada kritikannya.

Mengenai Najib yang sejak akhir-akhir ini dilihat tidak tentu arah dan hilang fokus, Mr R ketika ditanya sambil menikmati kopi panas di sebuah kopitiam memberikan perumpamaan yang cukup menarik bahawa tndak-tanduk Najib kebelakangan ini tidak ubah umpama ayam yang baru kena sembelih.

Bagi mereka yang tinggal di kampung atau biasa melihat ayam kena sembelih pasti mengetahui bagaimana keadaan ayam yang baru disembelih itu. Ayam yang disembelih tidak akan terus mati, ia akan mengambil masa seketika sebelum nyawanya terpisah dari badan, bergantung kepada kekuatan seseekor ayam itu. Ada yang mengambil masa 10 minit dan ada juga yang lebih lama dariada itu.

Namun ayam yang kena sembelih dan hanya menunggu masa untuk dijadikan lauk, biasanya akan menggelupur ke sana ke sini, melompat-lompat, cuba berdiri dan setengahnya boleh berlari-lari sebelum akhirnya tumbang juga. Bahkan ada peristiwa bagamaima ayam yang telah disembelih masih lagi boleh terbang dan hinggap di dahan pokok.

Tetapi yang pasti berlaku kepada ayam yang sudah disembelih itu, walau apa pun yang sedaya upaya cuba dilakukannya, ia akhirnya akan terkulai dan mati juga kerana urat halkumnya telah pun putus.

Begitulah analogi yang barangkali tepat mengenai Najib ini kerana walaupun beliau cuba berusaha sedaya mungkin untuk melakukan pelbagai perkara, hakikatnya "urat halkum yang menghubungkan antara UMNO dan rakyat" sebenarnya sudah pun terputus dan Najib hanya menunggu masa saja lagi untuk kehabisan nyawa politiknya.

Penulis Shahbudin Husin pernah menjadi wartawan beberapa akhbar di tahun 80an dan 90an, pernah juga berkhidmat di MARA. Pada tahun 1996-2000 menjadi Setiausaha Biro Ekonomi dan Pembangunan Usahawan, Pemuda Umno Malaysia dan 2004-2008 menjadi Naib Ketua Pemuda dan AJK Umno Bahagian Wangsa Maju. Telah menghasilkan dua buah buku politik bertajuk Najib PM Terakhir...dan Kesilapan-Kesilapan Najib.

http://shahbudindotcom.blogspot.com/
Detikdaily