Thursday 2 February 2012

Artis bersyahadah setelah mengkaji al-Quran


http://www.malaysiaharmoni.com/v2/images/stories/20120127_collins.jpg
Dibesarkan dalam keluarga Katolik, bintang filem televisyen Amerika Syarikat ini berasa pelik dengan keyakinannya. Pada ketika usianya 14 tahun, beliau mula mempersoalkan konsep triniti.


“Mengapa agama saya begitu rumit?” keluhnya kepada diri sendiri pada suatu hari.Sepanjang hidup, beliau belajar memahami agama nenek moyangnya itu. Tetapi ketika sampai kepada konsep ketuhanan beliau benar-benar keliru.

“Saya hairan terutama tentang mengapa Tuhan akan datang sebagai manusia dan akan membiarkan dirinya untuk mati bagi dosa-dosa pengikutnya,” terangnya menceritakan kisah hidupnya.
Keyakinannya mengenai ketuhanan terus berlegar. Ketika remaja, beliau memudahkan konsep triniti “tiga dalam satu” menjadi “dua dalam satu.” Apabila meningkat dewasa, beliau semakin yakin bahawa Pencipta seharusnya hanya satu.

Wanita itu adalah Angelina Collins, aktres yang namanya terus meniti di bibir peminatnya di Amerika Syarikat. Bagaimanapun kali ini ia bukan tentang filem televisyen yang dibintanginya, tetapi tentang keislamannya.

Collins bersyahadah tidak lama selepas tragedi 11 September 2001. Detik bersejarah itu bermula apabila beliau berkesempatan mempelajari Islam dan dengan dengan bersungguh-sungguh mempelajari kitab suci al-Quran.

“Saya melihat Islam sebagai agama yang datang untuk menjelaskan kesalahan manusia yang mengubah firman Allah yang asal agar sesuai dengan kepentingan mereka. Islam itu mudah; Allah adalah Allah. Allah mencipta kami dan kami menyembah Allah sahaja. Allah mengutus Musa, Isa, dan Muhammad (sallallahu alaihi wasallam) untuk menyampaikan mesej-Nya dan membimbing semua orang,” katanya selepas mendalami dan menghayati Islam.

“Selepas membaca al-Quran dua kali dan menelaahnya secara terperinci, saya percaya bahawa karya ini hanya boleh datang dari Pencipta saya,” kenang Collins yang kemudian dengan yakin memilih Islam sebagai agamanya.

Menjadi mualaf bukan bererti tanpa cabaran bagi Collins. Amerika Syarikat yang salah memahami Islam menjadi cabaran beratnya. Tentangan itu termasuklah daripada keluarga beliau sendiri.

“Sudah bukan rahsia lagi bahawa Islam secara serius disalahfahamkan di tanah air saya, Amerika Syarikat. Maka, pilihan saya pada agama 'kontroversi' ini membuat keluarga dan rakan-rakan risau,” jelasnya.

Meskipun demikian, langkah Collins tetap utuh. Kebenaran Islam telah menenangkan jiwanya dan mengukuhkan langkahnya menghadapi setiap ujian. Segala cabaran yang datang dijadikannya peluang untuk mendakwahkan Islam di negara yang buat masa sekarang memusuhi agama yang benar ini.

Detikdaily