Thursday, 8 December 2011

PBB Kritik RUU Himpunan Aman 2011


 Kumpulan hak asasi manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) turut melahirkan rasa kecewa ekoran kerajaan Umno-BN tidak mempedulikan pandangan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) atau masyarakat sivil dalam merangka Rang-Rang Undang Perhimpunan Aman 2011.



Pelapor khas PBB, Maina Kiai mengingatkan bahawa rang undang-undang baru itu bukan sahaja menghadkan hak berhimpun secara aman, termasuk demonstrasi jalanan, tetapi juga mengenakan akses bersyarat kepada media di perhimpunan awam, lapor Malaysiakini.


Tambahnya undang-undang itu mengandungi takrif kabur mengenai perhimpunan dan juga sekatan dan syarat-syarat perhimpunan dan memberikan “kuasa berlebihan” kepada pegawai penguatkuasa undang-undang dan menteri dalam negeri.


“Banyak sekatan ini tidak wajar mengikut undang-undang antarabangsa. Ia juga memberi budi bicara kepada pihak polis untuk membuat apa-apa saja bentuk rakaman perhimpunan,” kata Maina yang merupakan pelapor khas PBB mengenai hak kebebasan berhimpun secara aman dan berpersatuan.
Rang undang-undang dibentangkan untuk bacaan pertama oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri 21 November lalu dan diluluskan secara tergesa-gesa dengan beberapa pindaan, dalam tempoh kurang daripada dua minggu – pada 29 November.


Walaupun Ahli-ahli Parlimen pembangkang bertindak keluar dewan selepas membahaskan rang undang-undang tersebut, dan juga bantahan oleh lebih 1,000 peguam pada hari yang sama, namun ia tetap diluluskan.
Antara sekatan rang undang-undang adalah larangan ke atas bukan warganegara dan warganegara di bawah umur 21 tahun untuk berhimpun secara aman.


Malaysiakini turut melaporkan seorang lagi pelapor khas bagi hak kebebasan untuk bersuara, Margaret Sekaggya berkata beliau memandang berat peruntukan melarang warganegara di bawah umur 21 tahun untuk berhimpun.
“Penyertaan politik dan sosial melalui protes secara aman, bukan sahaja merupakan satu pengalaman pendidikan untuk kanak-kanak, belia dan pelajar, tetapi juga satu pelaburan kepada masyarakat secara keseluruhannya,” tegasnya.


selatanonline.net