Thursday 13 December 2012

Ziarah Amal DPPWP ke Rumah Datuk Yahya Sulong



KUALA LUMPUR, 13 Dis - Dewan Pemuda PAS WP (DPPWP) telah mengadakan ziarah amal di rumah Datuk Yahya Sulong, Bandar Baru Sentul di sini semalam.

Rombongan DPPWP diwakili oleh Ketua Pemuda PAS WP, Sdr. Kamaruzaman Mohamad. Turut hadir dalam rombongan tersebut ialah Sdr. Mohamad Suhaimi selaku Timbalan Ketua Pemuda, Sdr. Wan Shafareen selaku Pengerusi Lajnah Kebajikan DPPWP dan beberapa orang yang lain.

Ketibaan DPPWP jam 8 malam itu telah disambut oleh Datuk Yahya Sulong sendiri. Walaupun suasana hujan lebat namun ianya tidak mematahkan semangat pemuda-pemuda PAS WP ini untuk berjumpa dengan veteran artis dan pelawak ini. Pertemuan selama 45 minit tersebut telah membuahkan kemesraan di antara golongan muda dengan yang lama.

Veteran artis yang berusia 84 tahun ini memaklumkan bahawa isterinya sedang menghidapi barah paru-paru selama 6 bulan manakala beliau pula mengalami masalah semput. Penderitaan beliau bertambah parah apabila terpaksa menjelaskan tunggakan sewa rumahnya dengan pihak DBKL sebanyak RM800. Ini ditambah pula dengan tiadanya peluang berlakon selama 6 bulan dan beliau tidak mempunyai pendapatan yang lain.

Justeru, dalam pertemuan tersebut, pihak DPPWP telah memberikan sedikit sumbangan dan barangan dapur bagi meringankan beban kedua-dua mereka.

Penderitaan Datuk Yahya Sulong mendapat perhatian apabila berita mengenai arahan DBKL supaya beliau dan isterinya mengosongkan rumah mereka di flat Bandar Baru Sentul dekat ini.

.....
http://www.pemudawilayah.com