Sunday, 18 March 2012

Penjawat awam wajib sokong BN?


https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEgrhArw6lCiCqsWL3V2f_hCVfwutvRpxo0XvOHcErxg9BpAmRB29XEpf4bqXL5Gza-bSJXhH9cTnCFcshfExeScM9dczihcSFYO6A50fy1-4ghCLTM9yDOEdV6JoYExwMoU-7sBbrnVQKk/s1600/MB.jpg
Yang lebih penting, mana-mana kerajaan yang memerintah tidak boleh sekali-kali memaksa mana-mana penjawat awam untuk menyokong dan mengundi mereka dalam pilihan raya. Penjawat awam mempunyai hak dan kebebasan untuk memilih mana-mana parti dan wakil rakyat yang diyakini.


KETIKA berucap pada Majlis Ramah Mesra Pegawai Tadbir Negeri (TCS) Bersama Menteri Besar di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu baru-baru ini, Menteri Besar Terengganu Dato’ Seri Ahmad Said mengecam penjawat awam di negeri ini yang mengkritik serta menghentam etika dan dasar yang dilaksanakan kerajaan.
Menurutnya lagi, penjawat awam di Terengganu patut sedar bahawa wujudnya kerajaan hari ini adalah hasil kejayaan Umno-Barisan Nasional (BN) dan bukannya bergantung kepada mana-mana pihak.

Beliau menyatakan bahawa; “Penjawat awam dilantik oleh kerajaan yang memerintah pada hari ini. Mereka perlu menghormati dan melaksanakan amanah yang diberikan dengan tanggungjawab, bukan bertindak hentam kerajaan."

Ya, memang menjadi etika setiap ‘civil servant’ atau penjawat awam dalam sistem demokrasi di mana-mana negara sekalipun agar mereka menjalankan tugas secara telus dan beramanah kepada ‘government of the day’ atau ‘kerajaan yang memerintah’. Lebih-lebih lagi mereka diajar agar bersikap ‘neutral’ (berkecuali) dan ‘tidak berpihak’ apabila melaksanakan tugas mereka di semua peringkat.

Dalam menjalankan tugas, mereka diajar menghindari sebarang salah guna kuasa dan rasuah. Begitu juga apabila membuat sesuatu keputusan, mereka tidak boleh mendiskriminasi rakyat kerana semata-mata berbeza fahaman politik atau parti.

Namun yang lebih penting, mana-mana kerajaan yang memerintah tidak boleh sekali-kali memaksa manamana penjawat awam untuk menyokong dan mengundi mereka dalam pilihan raya.

Penjawat awam mempunyai hak dan kebebasan untuk memilih mana-mana parti dan wakil rakyat yang diyakini boleh memimpin menjadi kerajaan. Ini adalah hak ‘berpolitik’ mereka yang tidak boleh diganggu-gugat oleh mana-mana pihak termasuk Menteri Besar sendiri.

Cuma di negeri Terengganu ‘Darul Iman’ ini, timbul persoalan besar, apakah penjawat awam yang dilantik oleh kerajaan Umno-BN sahaja yang diminta untuk menjalankan tugas secara telus dan beramanah?

Bagaimankah pula dengan pemimpin-pemimpin Umno-BN yang telah diberikan amanah untuk memimpin kerajaan Terengganu dan dilantik oleh rakyat setiap empat atau lima tahun melalui peti undi dan pilihan raya?

Apakah mereka juga tidak terlepas daripada menjalankan tugas dengan telus dan beramanah?

Di Terengganu, semua kalangan termasuk penjawat awam sendiri kini sedang menilai dengan teliti corak kepimpinan Menteri Besar serta kerajaan Umno-BN yang memerintah. Apakah rakyat dan penjawat awam yang berkhidmat sekarang sudah merasa puas hati dengan cara Menteri Besar melaksanakan pentadbiran dan arahan di negeri ini?

Apakah ahli-ahli politik ini telah menjalankan tugas secara telus dan beramanah? Begitu juga dengan dasar pentadbiran dan pembangunan kerajaan negeri, apakah ia benar-benar berkonsepkan ‘merakyatkan pentadbiran’ dan ‘membela rakyat’ Terengganu yang sebahagian besarnya miskin dan hidup ‘kais pagi makan pagi kais petang makan petang?’

Saya yakin penjawat awam Terengganu dapat membuat pertimbangan dengan jelas prestasi dan legasi kepimpinan Ahmad Said dan kerajaan Umno- BN yang memerintah. Walaupun Terengganu diuar-uarkan dengan pelbagai projek pembangunan baru, keuntungan sebenar yang dinikmati bukan kepada golongan rakyat bawahan yang kebanyakannya miskin dan hidup bergantung kepada ‘subsidi’ sebaliknya ia banyak mengalir kepada kroni pimpinan Umno-BN.

Lihat sahajalah tendertender pemberian hasil balak dan sumber perhutanan. Ia dianggap sebagai ‘anugerah’ kepada kroni yang setia dan bukannya amanah yang patut dijaga dengan baik. Begitu juga dengan pembangunan ‘tempang’ yang hanya mementingkan ‘untung’ semata-mata telah mengakibatkan satu demi satu perkampungan tradisi masyarakat Melayu di bandar seperti di Tanjung, Paya Keladi, Ladang dan kini di Cabang Tiga hilang dalam sekelip mata. Rasuah dan salah-tadbir telah mengakibatkan Stadium Sultan Mizan yang bernilai hampir RM300 juta runtuh dan tidak dapat digunakan sehingga sekarang.

Begitu juga dengan perbelanjaan pemimpin yang dilihat ‘bobrok’ dan terus berbelanja mewah dan besar dengan bajet lebih RM2 bilion setiap tahun serta projek ‘pembelian itek dan angsa yang diimport dari Eropah di Tasik Kenyir’ dan ‘membela gajah dan kera di Zoo Kemaman’ yang menelan belanja puluhan juta ringgit sedangkan pada waktu yang sama rakyat Terengganu yang miskin terpaksa menanggung bebanan kos kehidupan harian yang amat memeritkan.

Ya, setiap empat atau lima tahun ‘rakyat’ yang akan menjadi penentu. Pilihan raya dan demokrasi jugalah yang akan menentukan siapa dan parti manakah yang akan memegang tapuk pemerintahan negeri Terengganu ‘Darul Iman’ yang bukan sahaja kaya dengan budaya tetapi juga kaya dengan hasil mahsyul. Saya yakin setiap penjawat awam yang mempunyai sifat terpuji seperti amanah, tekun serta sentiasa berkhidmat untuk masyarakat tidak akan menyokong dan memilih mana-mana calon dan parti yang tidak beramanah, angkuh, bobrok, rakus dan rasuah dalam menjalankan tugas mereka.

Detikdaily