Thursday 2 February 2012

Rosmah Mansor Jadi Budak Suruhan Raja Rezza Shah?



Dewan pemuda PAS Malaysia (DPPM) melihat penjelasan Pengerusi Festival Fesyen Islam (IIF) Raja Rezza Shah melalui kenyataan beliau di media berhubung dakwaan perbelanjaan mewah Datin Seri Rosmah Mansor di Australia adalah jawapan melepas diri semata-mata bagi mengelak lebih banyak spekulasi buruk menimpa isteri Perdana Menteri itu.


Menurut kenyataan Raja Rezza Shah, Datin Seri Rosmah Mansor tidak berbelanja sakan seperti yang didakwa ramai pihak, sebaliknya pakaian yang dibeli adalah stok untuk bekalan sebuah kedainya di London.

DPPM menganggap jawapan yang diberikan oleh Raja Rezza Shah adalah jawapan lucu dan pelik. Beliau turut mengakui mengikuti rombongan Perdana Menteri dan isterinya ke Australia dalam kenyataannya itu. Persoalannya, bagaimana Raja Rezza Shah mendapat suatu keistimewaan boleh bersama-sama rombongan Perdana Menteri dan isteri ke Australia dalam suatu urusan kerajaan. Apa kelebihan beliau kepada Perdana Menteri sehingga beliau turut diundang bersama dalam rombongan tersebut?

Persoalan kedua, bagaimana Datin Seri Rosmah boleh ‘menolong’ membeli 61 helai pakaian bagi pihak Raja Rezza Shah untuk stok kedainya di London. Seolah-olah Datin Seri Rosmah menjadi ‘budak suruhan’ Raja Rezza Shah untuk membeli pakaian di butiknya. Begitu hebatnya beliau sehingga boleh ‘mengarah’ atau ‘meminta tolong’ Datin Seri Rosmah membeli 61 helai pakaian untuk stok di kedainya?

Jika beliau menyatakan pembelian tersebut adalah untuk stok butik kedainya di London, ini menunjukkan beliau menggunakan kepentingan peribadi melalui kabel politik pemimpin besar negara. Bagi DPPM, beliau tidak sepatutnya dibenarkan mengiringi rombongan PM dan isteri ke Australia kerana tujuan lawatan itu adalah kerana urusan rasmi kerajaan, sementara beliau menggunakan kesempatan rombongan ini untuk meraih kepentingan peribadi.

Selain itu, Datin Seri Rosmah Mansor berkali-kali menafikan membuat pembelian tersebut dan menganggap ia sebuah fitnah yang direka-reka. Sedangkan penjelasan Raja Rezza Shah mengesahkan pembelian 61 helia pakaian itu benar-benar dibuat. Mengapa Datin Seri Rosmah Mansor tidak mengakui lebih awal atau terus meminta Raja Rezza Shah menjawab bagi pihaknya? Sudah hampir dua minggu tohmahan itu berlegar di kalangan rakyat, baru sekarang penjelasan diberikan.

Jawapan Raja Rezza Shah bukan meleraikan dakwaan ‘pemborosan wang di luar negara’ Datin Seri Rosmah Mansor, sebaliknya lebih menjejaskan reputasi Datin Seri Rosmah. Lebih banyak penjelasan dituntut dari isteri PM itu berhubung rombongan beliau itu.

RIDUAN MOHD NOR
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Malaysia

buletinonline