
HAIRAN bila kebelakangan ini, seorang yang melarikan diri daripada polis, boleh menjadi sumber berita kepada media arus perdana dan diberi liputan yang baik seperti seorang negarawan yang kata-katanya menjadi ulasan dan perhatian banyak pihak.
Raja Petra Kamaruddin adalah seorang pelarian. Khabarnya polis tidak dapat mengesan di mana dia menetap sekarang.
Khabarnya juga, polis tidak tahu di mana dia berada kerana ada kes yang dia perlu selesaikan dengan pihak polis, khususnya kes tuduhannya terhadap isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor dalam pembunuhan wanita Altantuya Shaaribu.
Tiba-tiba, dia boleh diwawancara oleh media pro Umno. Dia mendapat tempat istimewa di dada akhbar yang selama-lamanya mahu menobatkan blogger kaki syak wasangka ini sebagai seorang yang banyak tahu dan banyak menyimpan rahsia.
Apakah, dengan kenyataan demi kenyataan, tuduhan-demi tuduhan yang dilemparkannya boleh menyebabkan dia terlepas dari siasatan polis? Apakah dia seorang insan istimewa dan akan dijadikan “pusat sumber” bagi menyerang dan memfitnah musuh Umno?
Terbaru, dia mendakwa dua Adun Parti KeADILan di Selangor, Adun Sri Muda, Shuhaimi Shafie dan Adun Batu Caves, Amiruddin Shari dalam isu penyelewengan pasir di Selangor dan misteri kematian Patrick Wong.
Menteri Dalam Negeri, Dato’ Seri Hishammuddin Hussein meminta Raja Petra Kamaruddin menyarankan pengendali portal berita Malaysia Today itu membuat laporan polis berhubung dakwaannya itu.
Apa yang pelik, Hishammuddin tidak pula mengarahkan polis mengesan Raja Petra dan membawanya balik ke Malaysia untuk polis menghabiskan siasatan terhadap dakwaandakwaannya selama ini terhadap isteri Perdana Menteri.
Raja Petra tidak boleh dilepaskan begitu sahaja dan tidak boleh dimaafkan dengan pelbagai kekecohan yang dia timbulkan selama ini. Jika serius, siasatan bagaimana dia boleh terus hidup mewah dan bebas di luar negara dan kemudian, menjadi sumber berita yang begitu mustahak.
Undang-undang Malaysia mesti dilaksanakan. Jangan kerana dia dilihat menyebelahi kerajaan dan Umno, dia seperti orang penting yang dilindungi daripada sebarang siasatan dan pendakwaan.
Yang salah tetap salah walaupun dia penyokong kerajaan dan yang salah tetap salah walaupun dia menguntungkan kerajaan dan Umno.
Terbaru, Raja Petra Kamaruddin mendakwa Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin mungkin terlibat dengan pendedahan isu NFC yang melibatkan keluarga Ketua Pergerakan Wanita Umno, Dato’ Seri Shahrizat Abd Jalil dan Raja Nong Chik sudah menyifatkan dakwaan tersebut sebagai fitnah kepada dirinya.
Siapa Raja Petra Kamaruddin yang begitu kebal ini? Apa kelulusan pengajiannya? Apa pengkhususan pengajiannya? Siapa dia sebelum tragedi pemecatan Dato’ Seri Anwar Ibrahim dari kerajaan dan Umno? Apakah dia seorang wartawan atau editor dari mana-mana media?
Atau dia muncul untuk kepentingan dirinya sendiri, mencari makan hasil membuat pelbagai onar dan dakwaan yang akhirnya tidak dapat dibuktikan dakwaannya itu berasas.
Malaysia tidak memerlukan penulis blog seperti Raja Petra Kamaruddin walaupun dakwaannya sentiasa menjadi “rebutan media pro Umno” kebelakangan ini.
Penulis seperti ini mesti berani berpijak di bumi nyata. Jika dia benar, balik ke Malaysia dan hadapi semua siasatan yang hendak dikenakan terhadap dirinya.
Ramai yang khuatir jika dakwaan tidak berasas itu menjadi amalan biasa kepada mereka yang laparkan maklumat. Maklumat tidak mestinya benar walaupun mereka sediakan dengan pengakuan bersumpah sekali. Fitnah juga boleh dijadikan maklumat.
Jadi, semua pihak kena berhati-hati menerima apa-apa maklumat terutama dari mereka yang melarikan diri daripada siasatan polis.
Kebetulan, pendedahan Raja Petra dibuat, rakyat Malaysia sedang bercuti menyambut Maulidul Rasul dan cuti perayaan Thaipusam bagi penganut Hindu.
Keghairahan Dato’ Seri Mohd Najib Razak dan isterinya hadir ke Batu Caves kerana mahu menarik perhatian kaum India yang berpesta di situ menyebabkan Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria menyifatkannya sebagai mengadai akidah.
Tiada respon dari Najib bila Mufti Perak mengeluarkan kenyataan tersebut. Media pro Umno tidak memberi liputan mengenai kenyataan Mufti Perak tersebut tetapi di beberapa portal berita menyiarkannya.
Antara lain, kata Mufti Perak, beliau sudah beberapa kali menegur perbuatan Perdana Menteri itu tetapi tidak dipedulikan, malahan Najib meneruskan kegiatannya itu selama tiga tahun berturut-turut.
Harussani juga mengatakan bahawa Perdana Menteri sebelum Najib tidak meraikan Thaipusam dengan pergi ke Batu Caves seperti Najib dan Rosmah yang mendapat kalungan bunga malai terbesar melainkan menghantar wakil seorang menteri yang beragama Hindu untuk mewakilinya.
Bagaimana Najib mahu menjawab teguran Harussani ini?
Mana menteri agama yang Najib lantik dalam kabinet bila berlaku perkara seperti ini. Malahan, Mufti Perak mengatakan perbuatan Najib itu boleh menyebabkan syirik.
Penasihat-penasihat agama kepada Perdana Menteri senyap. Orang-orang kanan Najib juga mendiamkan diri.
Pengarang-pengarang suratkhabar yang selama ini menuduh Islam PAS tidak betul, Umno membangunkan Islam dan Umnolah yang mempertahankan Islam sudah kelu lidah mereka.
Lebih malang, tidak ada mufti lain yang selama ini menyerang kegiatan PAS mahu bercakap mengenai Perdana Menteri mengadai akidah bila beliau ke Perayaan Thaipusam. Apakah mereka belum tahu yang Najib dan Rosmah ke Batu Caves atau mereka tahu perbuatan itu salah tetapi tidak berani menegurnya.
Ramai juga yang bimbang, jika ada orang yang mengaku pandai agama menyalahkan Mufti Perak bila Mufti Perak menegur buat kali ketiga kepada Najib, yang cukup ditakuti oleh orang lain ini. Apakah Najib akan patuh kepada teguran ini atau Najib kurang senang dengan Mufti Perak selepas ini?
Sebagai Perdana Menteri, Najib sebenarnya perlu mendapatkan nasihat mereka yang tahu dalam bidang-bidang tertentu untuk menghadirkan diri atau melibatkan diri. Jika dia sebagai Perdana Menteri yang sering mendabik dada mengatakan sebagai seorang Islam di sebuah negara Islam, tidak perlu sampai mengadaikan akidah sebagai seorang Islam.
Tindakan Harussani itu betul, berkata benar di hadapan pemimpin yang sedang berkuasa dan sepatutnya semua Mufti lain, termasuk Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab terhadap agama di Malaysia, menjalankan tugas dengan penuh tanggungjawab dan bukan sibuk untuk mencari tempat bertanding dalam PRU13.
Dakwaan menyalahgunakan wang zakat, pendakwaan terhadap pegawai-pegawai Tabung Haji dalam isu “haji ekspres” dan keraguan dalam hal wang Yayasan Takwa menyebabkan dia mungkin tidak mempunyai cukup kebebasan bercakap mengenai kehadiran Perdana Menteri di Perayaan Thaipusam.
detikdaily