
Menurut Ahli Sunnah wal Jamaah; walau bagaimana cerdik minda manusia, dia tiada upaya untuk menjaga dan memimpin diri sendiri, kecuali dengan tunjuk ajar para nabi dan rasul.
Tanpa nasihat dan tunjuk ajar tersebut, insan terus bersetatus jahil. Dengan status itu, insan bagai haiwan tiada pengembala bertempiaran tanpa haluan.
Allah SWT kirim para nabi dan rasul kepada masyarakat manusia disertakan bersamanya mukjizat, iaitu kejadian pelik dan luar biasa yang melemahkan akal minda.
Mukjizat adalah sijil pengiktirafan daripada Allah SWT membuktikan mereka itu nabi yang sebenar. Jika tiada mukjizat maka ramai manusia akan mengaku sebagai nabi.
Dalam situasi tiada mukjizat itupun ramai juga yang mendakwa diri sebagi nabi.
Namun nabi palsu itu mudah ditolak kerana mereka tidak memiliki mukjizat sebagaimana para nabi yang sebenar.
Pelbagai mukjizat Allah SWT kurniakan kepada para rasul, ada mukjizat yang boleh mengeluarkan seekor unta dari rekahan batu pejal, sebagaimana yang berlaku kepada Nabi Saleh a.s.
Nabi Muhammad s.a.w. dikurniakan kepadanya perkara luar biasa. Contohnya peristiwa berlaku dalam suatu peperangan di musim panas.
Para tentera Islam menghadapi krisis kekurangan air di padang pasir yang kontang. Rasulullah s.a.w. mengarahkan supaya baki baki air yang masih ada, dihimpunkan di dalam suatu wadah. Nabi s.a.w. mencelupkan tagannya yang mulia ke dalam bekas air itu. Dengan mukjizat Allah SWT, mereka mendapati air melimpah ruah, Ia bukan saja menghilangkan dahaga ribuan tentera, malah dapat membekalkan keperluan air untuk kegunaan sepanjang misi peperangan itu.
Dalam suatu medan perang yang lain, seorang sahabat telah terkena panah musuh pada matanya. Nabi s.a.w. telah mencabut anak panah itu dan menghembusnya pada mata yang tercedera itu. Lalu dengan serta merta sembuh, malah penglihatannya lebih jelas daripada sebelumnya.
Pelbagai mukjizat kepada Nabi s.a.w. telah diperlihatkan kepada para sahabat, tetapi mukjizat itu tidak dapat dilihat dan dinikmati oleh umat yang tidak sezaman dengan Nabi s.a.w..
Bagaimanapun Allah SWT telah mengurniakan mukjizat paling agung kepada Nabi s.a.w. Mukjizat tersebut iaitu al-Quran kitab wahyu terakhir yang dijamin oleh Allah SWT, dari sebarang ubah suai dan campur tangan manusia.
Sedang kitab kitab Samawi yang lain telah pupus, atau telah diubah suai oleh manusia. Dengan membuang sebahagiannya dan menokok tambah kandungannya. Seperti yang terjadi kepada kitab Taurat dan Injil.
Banyak maklumat penting di dalam kitab samawi terdahulu telah dihapuskan, oleh manusia berkepentingan khususnya mengenai fakta Muhammad s.a.w., sebagai Nabi dan Rasul Allah yang terakhir.
Al-Quran memberi tahu bahawa maklumat tersebut begitu masyhur di kalangan Bani Israil dan kaum Nasrani. Hingga mereka lebih mengenali Nabi Muhammad yang belum lahir ke dunia, sebagai mana firman Allah yang bermaksud: “Orang orang (Yahudi dan Nasrani) yang telah Kami beri Al Kitab (Taurat dan Injil) mengenal Muhammad seperti mereka mengenali anak-anak mereka sendiri. Dan sesungguhnya sebahagian antara mereka menyembunyikan kebenaran, pada hal mereka mengetahui.” (Surah Al Baqarah ayat 146)
Melalui ayat tersebut Allah SWT bongkar rahsia pengkhianatan golongan Yahudi dan Nasrani, yang telah menyembunyikan kebenaran maklumat tentang munculnya Nabi dan Rasul akhir zaman.
Mereka hapuskan maklumat itu daripada kitab Samawi, setelah mengetahui Nabi terakhir yang mereka tunggu itu bukan daripada kalangan bangsa mereka. Sebaliknya lahir daripada bangsa Arab Quraisy, menyimpang jauh daripada ramalan mereka.
Al-Quran sebagai mukjizat yang agung itu, terpelihara daripada gangguan manusia. Kerana Allah SWT sendiri yang berjanji untuk menjaganya, sebagaimana ditegaskan oleh firman-Nya yang bermaksud: “Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan al-Quran, dan sesungguhnya Kami benar benar memeliharanya.” (Surah Al Hijr ayat 9)
Andainya mukjizat Nabi s.a.w. hanya dalam perkara ajaib yang berlaku atas diri Nabi s.a.w. sahaja, maka tiadalah peluang umat selepas zaman baginda s.a.w. menyaksikannya.
Mujurlah Allah SWT menurunkan wahyu-Nya (al- Quran) sebagai mukjizat, berjanji akan memeliharanya. Dengan janji itu terbukti mukjizat yang agung itu, dapat dilihat dan dihayati oleh umat Muhammad kekal hingga ke hari kiamat.
Meskipun Nabi s.a.w. telah wafat lebih 1,400 tahun silam, namun mukjizat tinggalannya masih dapat ditatap dan dipelajari. Jadi panduan untuk kesejahteraan hidup di dunia dan demi kebahagiaan abadi di akhirat.
Justeru para nabi dan rasul telah menyampaikan kepada manusia seluruh ajaran agama Allah SWT, janji janji baik (syurga) bagi orang orang yang taat dan janji buruk (neraka) kepada yang ingkar.
Menjadi kewajipan ke atas manusia seluruhnya, membenarkan para nabi dan rasul, serta apa jua yang dibawa oleh mereka. Agar manusia menjadi umat dakwah, menyebarkan ajaran Nabi s.a.w. kepada manusia seluruhnya.
TUAN GURU NIK ABDUL AZIZ NIK MAT