Thursday, 15 December 2011

Saraan Baru Perkhidmatan Awam 2012



14 hari terima opsyen SBPA cukup, kes khas dilanjut masa: (Kemaskini 15.12.2011 - 06.30 petangi)

KUALA LUMPUR, 15 Dis — Tempoh dua minggu, yang akan berkuat kuasa esok, bagi 1.4 juta kakitangan awam meneliti dan mempertimbangkan opsyen sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) memadai, kata Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Abu Bakar Abdullah.



Ketika dihubungi The Malaysian Insider, Abu Bakar (gambar bawah) bagaimanapun menjelaskan, pihaknya akan memberi tempoh lanjutan kepada kakitangan dalam kes-kes tertentu. (TERKINI 15.12.2011 10.15 malam: SBPA: Cuepacs minta PA sabar dulu...)

“Dalam kes-kes tertentu, seseorang kakitangan akan diberi kelonggaran, akan dilanjutkan tempoh, misalnya mereka yang bercuti, ada urusan lain.

“Kami akan memberi lebih masa, dilanjutkan tempoh untuk mereka meneliti opsyen sistem ini,” kata beliau malam tadi.



Justeru kata beliau, berdasarkan siri taklimat yang telah diberi di peringkat persekutuan dan negeri, pihaknya mendapati tempoh dua minggu yang diperuntukkan memang memadai dan mencukupi.

“Saya lihat kebanyakan kakitangan faham, sistem saraan ini membawa penambahbaikan daripada sistem lama,” kata beliau lagi.

“Sebagaimana saya katakan hari itu (minggu lalu), tempoh dua minggu ini sudah cukup,” katanya lagi sambil menjelaskan, siri taklimat peringkat persekutuan sudah selesai dan diteruskan di peringkat negeri.

SBPA yang menggantikan Sistem Saraan Malaysia (SSM) akan dikuatkuasakan mulai 1 Januari ini. Tempoh opsyen menerima SBPA selama dua minggu bermula esok dengan borang berkenaan akan diedarkan hari ini.

Kakitangan awam dikehendaki menerima opsyen menjelang 30 Disember ini iaitu sama ada menerima SBPA ataupun mahu kekal di bawah SSM.

Sistem Saraan Baru (SSB) yang diperkenalkan pada 1992 memberi tempoh 30 hari untuk mempertimbangkan opsyen skim gaji ketika itu.

Kakitangan awam yang masih berada di bawah SSB juga boleh mempertimbangkan ospyen SBPA.

Pekeliling mengenai pelaksanaan SBPA dikeluarkan Rabu lalu.

Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) akan membuat pendirian sama ada menerima tawaran skim SBPA ataupun sebaliknya pada satu mesyuarat khas hari ini.

Penilaian prestasi penjawat awam hanya akan diambil kira bermula tahun depan, iaitu apabila penjawat awam memilih untuk menerima SBPA, katanya.

link