Penangguhan kerja-kerja projek fasa pertama tebatan banjir di Sungai Jelok, Kajang didapati antara punca berlakunya banjir kilat di bandar itu Jumaat lalu.
Pengarah Sumber Air dan Hidrologi Malaysia Hanapi Mohamad Noor berkata projek tebatan banjir itu tertangguh ekoran kegagalan Majlis Perbandaran Kajang (MPK) memindahkan 21 premis kedai yang beroperasi di tebing sungai itu.
"Pihak Majlis Perbandaran telah dimaklumkan untuk memindahkan kedai-kedai yang terlibat. Namun sehingga kini tiada tindakan diambil untuk memindahkan kedai yang bersatus sementara itu," katanya pada sidang akhbar selepas majlis pelancaran persidangan antarabangsa mengenai pengurusan sungai.
Hanapi berkata projek tebatan banjir setinggi 100 meter itu dijadual siap sepenuhnya dalam tempoh enam bulan.
Beliau berkata selain itu, perbuatan membuang sampah yang tidak terkawal ke dalam sungai berkenaan turut menyumbang kepada bencana banjir kilat itu.
Hujan lebat selama dua jam dengan kadar purata 80mm di kawasan Kajang Jumaat lalu mengakibatkan banjir sedalam 1.5 meter di pusat bandar itu.
Sementara itu Ketua Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Datuk Ahmad Husaini Sulaiman berkata jabatan itu telah bersiap sedia bagi menghadapi bencana banjir.
Antara persiapan yang dilakukan ialah menubuhkan sistem ramalan dan amaran banjir di lembangan sungai-sungai di kawasan rendah dan berisko banjir, katanya.
- Bernama