Thursday, 15 December 2011

Peneroka mahu info terperinci penyenaraian Felda


Gabungan Peneroka Generasi Wawasan Felda Kebangsaan (GEMPAK) akan mendapatkan butiran terperinci mengenai penyenaraian Felda Global Ventures Holdings Sdn Bhd (FGVH) secepat mungkin untuk diterangkan kepada anggota peneroka, kata Timbalan Presidennya Tan Sri Rozali Ismail.



“Kita nak dapatkan dengan jelas butiran mengenai penyenaraian dengan cepat dan kita akan lakukannya secara sistematik. Kita akan pastikan maklum balas ini disalurkan kepada semua peneroka,” kata beliau pada sidang media Gabungan Wawasan Generasi Felda Malaysia di Kuala Lumpur, hari ini.

Menurut laporan sebelum ini, kerajaan merancang untuk menyenaraikan FGVH pada pertengahan tahun depan.

GEMPAK adalah gabungan dua badan iaitu Jawatankuasa Perunding Peneroka Kebangsaan (JKPP) yang merupakan sebuah badan yang dianggotai ketua-ketua peneroka dan penerokawati peringkat Wilayah Felda yang mewakili 112,635 peneroka, dan badan induk yang mewakili anak peneroka generasi baru Felda iaitu Gabungan Wawasan Generasi Felda (GWGF). Di bawah naungan GWGF, terdapat 14 pertubuhan bukan kerajaan (NGO), yang mana anggotanya adalah
anak-anak peneroka.

GEMPAK, yang mewakili peneroka dan penerokawati serta generasi baru peneroka di 317 tanah rancangan Felda bergabung dengan tujuan untuk menyelesaikan masalah di tanah rancangan Felda tarmasuklah isu penyenaraian FGVH.

JKPP diketuai oleh Ketua Peneroka Kebangsaan Samsudin Othman manakala GWGF diketuai oleh Rozali.

Satu memorandum persefahaman (MoU) antara kedua-dua badan ini ditandatangani di mana kedua-duanya bersetuju melantik Samsudin sebagai Presiden dan Rozali sebagai Timbalan Presiden GEMPAK hari ini.

Rozali adalah anak peneroka Felda Gedangsa, Hulu Selangor.

Rozali berkata GEMPAK akan menubuhkan panel khas yang akan mengadakan pertemuan dengan pihak Felda, FGVH, Koperasi Permodalan Felda Bhd (KPF) dan lain-lain agensi yang terlibat dengan penyenaraian ini.

Panel khas akan mengemukakan keputusan lengkap kajian mengenai penyenaraian FGVH kepada Jawatankuasa Eksekutif GEMPAK yang ditubuhkan hari ini. Laporan khas sama ada GEMPAK menyokong atau tidak penyenaraian ini akan dimajukan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang bertanggungjawab mengenai hal ehwal Felda.

Beliau menyeru kepada semua masyarakat peneroka serta kakitanga Felda agar bersabar dan tidak membuat sebarang spekulasi mengenai penyenaraian FGVH sehingga kajian yang dilakukan oleh GEMPAK selesai.

Rozali juga berkata beliau tidak pernah menyatakan pendirian sama ada menyokong atau tidak penyenaraian FGVH dan akan menunggu sehingga mendapat penjelasan dengan terperinci mengenai penyenaraian itu.

Menurutnya, sehingga kini, tiada penyelarasan dalam penerangan mengenai butiran penyenaraian yang diberikan kepada peneroka.

- Bernama