Kedai Ikan Rakyat 1Malaysia yang dilancarkan hari ini, menawarkan barangan basah seperti ikan, ayam, daging dan sayuran pada harga rendah sehingga 40 peratus berbanding harga pasaran.
Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Raihan Sharif berkata kedai inisiatif Restoran Ikan Bakar Sekinchan (RIBS) itu harus dicontohi pihak swasta lain dalam membantu kerajaan meringankan beban rakyat.
"Kerajaan akan membantu pihak swasta dalam hal ini seperti mendapatkan bekalan pada harga yang berpatutan melalui agensi-agensi kerajaan yang berkaitan," katanya selepas pelancaran kedai yang terletak di Plaza Centrum, Setiawangsa, di ibunegara.
Katanya kementerian juga akan sentiasa memantau kualiti produk di kedai itu yang turut memasarkan barangan industri kecil dan sederhana.
Sementara itu, pemilik RIBS dan Kedai Ikan Rakyat 1Malaysia Datuk Jamal Yunos berkata pihaknya mensasarkan untuk membuka 33 cawangan kedai itu di seluruh negara, termasuk tiga yang akan dibuka dalam masa terdekat di Bandar Mahkota Cheras, Setapak dan Bandar Tasik Permaisuri.
"Walaupun kami menawarkan barangan pada harga jauh lebih murah, kualitinya akan tetap dijaga. Setiap hari kami akan pastikan barangan jualan adalah segar," katanya.
Kedai itu beroperasi setiap hari dari 6 pagi hingga 10 malam, katanya.
- Bernama