mediakini2uDotblogspotDotCom - (Perkongsian berita yang kabanyakanya tidak akan keluar di TV anda)
Tuesday, 6 December 2011
Jejantas berbumbung untuk perhimpunan Umno?
KUALA LUMPUR, 7 Dis: Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) mempersoalkan penggunaan dana rakyat yang dianggarkan tidak melebihi RM20 juta bagi pembinaan jejantas berbumbung yang menghubungkan Stesen LRT PWTC dengan bangunan Umno di PWTC dan Sunway Putra Mall.
Ketuanya, Kamaruzaman Mohamad (gambar) berkata, pembukaan sementara jejambat yang belum siap dan tiada CF itu khusus untuk Perhimpunan Agung Umno minggu lepas, menimbulkan kesangsian rakyat terhadap kerelevenan projek itu diadakan.
“Adakah ianya dibina untuk kepentingan Perhimpunan Agung Umno?” soalnya dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily.
Sewajarnya, kata beliau jejambat itu tidak dibuka kerana belum ada jaminan keselamatan dari pihak Bomba dan diakui belum siap sepenuhnya oleh pihak Syarikat Prasarana Negara Bhd (SPNB).
Katanya, kegopohan itu menunjukan bahawa adanya pihak-pihak yang berkepentingan dalam projek itu.
Menurutnya, projek yang dimulakan akhir tahun lepas dikatakan telah hampir ke fasa terakhirnya yang dijangka selesai lewat hujung bulan ini.
Ujarnya, begitu cekap pembinaannya berbanding projek DBKL di Kompleks Pasar Keramat yang memerlukan hampir 20 tahun untuk disiapkan.
“Mungkin itulah bezanya projek untuk kepentingan Umno dan untuk kepentingan rakyat,” ujarnya lagi.
Tambahnya, DPPWP juga melihat SPNB, yang menjadi pemilik projek itu bagi pihak kerajaan dilihat gagal memahami kepentingan strategik rakyat dalam pemilihan laluan 400 meter bagi jejambat LRT PWTC.
“Sewajarnya laluan siar kaki di kiri kanan Jalan Putra yang selebar 5-7 kaki dinaik taraf dengan pembinaan laluan bumbung seperti di laluan siar kaki LRT Stesen Bandaraya,” katanya.
Malah, ujar beliau lagi terowong di bawah Jalan Putra juga gagal dinaik taraf sedangkan kosnya lebih murah berbanding pembinaan jejambat berkenaan.
Menruutnya lagi, Wanita Umno kalangan warga emas sendiri mengadu baru-baru ini kerana jejambat bernilai jutaan ringgit itu hanya mampu menyediakan tangga untuk mereka yang terketar-ketar lutut menaikinya.
Sewajarnya, ujar beliau eskalator disediakan sesuai dengan bajet yang dikeluarkan.
Katanya, DPPWP turut dimaklumkan bahawa perunding utama projek itu adalah Maju Integrated Engineers Sdn Bhd yang merupakan anak syarikat Kumpulan Maju Holdings Sdn Bhd yang telah membangunkan projek kontroversi Terminal Bersepadu Selatan-Bandar Tasik Selatan (TBS-BTS).
Tambahnya, tidak cukup dengan itu pengerusi eksekutifnya didakwa telah membina lima banglo dan Club House di atas sebidang tanah yang didakwa sudah diwartakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk taman rekreasi awam.
“Apakah kepentingan syarikat ini sehingga berjaya mendapat begitu banyak projek Prasarana Negara?” soal beliau.
harakdaily