Thursday, 22 December 2011

Jangan Paksa Kakitangan Kerajaan Tandatangan SBPA



PAS kesal dengan sikap kerajaan yang sentiasa mengambil langkah tergesa-gesa dalam menentukan sesuatu polisi. Terkini ialah dengan memaksa kakitangan kerajaan untuk menandatangani skim Saraan Baru Perkhimatan Awam (SBPA) yang diumumkan oleh kerajaan. Seperti yang diketahui, CUEPACS masih perlu berunding dengan kakitangan kerajaan untuk menyetujui skim tersebut. Tetapi hari ini pihak guru-guru telah diminta untuk menandatangani segera skim tersebut, walaupun tempoh akhir masih belum sampai iaitu pada 31 Disember 2011.



PAS telah melalui pengalaman dimana pihak kerajaan telah menyekat bantuan kepada Sekolah Agama Rakyat (SAR) yang menyebabkan banyak SAR terpaksa ditutup. Tujuan kerajaan ialah supaya mereka menyerah diri kepada skim Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) dalam rangka pihak kerajaan menguasai pendidikan Islam dalam negara ini.

Pada tahun 2006, PPSMI telah dipaksa kepada rakyat dan ternyata PPSMI telah membawa kepada kerosakan kepada kemajuan pendidikan kebangsaan yang berasaskan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu. Justeru apabila skim-skim yang membabitkan pendidikan dilaksanakan tanpa rundingan yang sebaik-baiknya dengan pihak kerajaan, PAS bimbang akan banyak lagi masalah yang akan timbul dalam bidang pendidikan yang akan merosakkan falsafah pendidikan di negara ini.

Memadailah ibubapa bimbang terhadap akhlak anak-anak mereka disebabkan kegagalan dasar pendidikan moral atau kelemahan dasar dalam pendidikan akhlak. PAS berharap kerajaan menyelesaikan segera isu-isu besar seperti ini disamping membuat perancangan yang betul dalam bidang pengurusan, kerana perancangan semasa yang dibuat secara tergesa-gesa telah menyebabkan banyak kerosakan termasuklah soal penempatan guru-guru lepasan institusi pengajian tinggi dalam bidang pendidikan yang gagal diselesaikan sehingga hari ini. Begitu juga apabila SBPA mahu dilaksanakan, pastikan ia membawa kebaikan kepada rakyat keseluruhan, bukan untuk sesuatu kepentingan yang boleh merosakkan masa depan rakyat dan negara.


Dato' Ustaz Abu Bakar Chik
Ahli Jawatankuasa PAS Pusat

link