Thursday, 8 December 2011

Hijrah Sham Kamikaze


Shamril Salleh atau lebih dikenali sebagai Sham Kamikaze merupakan satu nama besar dan tidak asing lagi dalam industri hiburan tanah air. Beliau yang merupakan pengasas kumpulan Kamikaze bukan sahaja seorang artis yang berpengalaman luas,malah turut terlibat sebagai seorang penerbit muzik, pengubah, penyusun dan gitar sessionist. Beliau juga telah berkolaborasi dengan ahli muzik dari luar negara dalam pelbagai persembahan.



Sham dan isteri





Sham Kamikaze telah didedahkan kepada pelbagai jenis muzik sejak di usia muda. Seawal usia 12 tahun beliau telah mula bermain gitar. Sejak itu, Sham terus mengembangkan bakat muziknya sehingga dewasa. Beliau turut menjadi pengajar di Guitar Institute of  Malaysia di Kuala Lumpur. Sebelum ini, beliau pernah merakamkan album bersama Kamikaze dan turut tercalon dalam Anugerah Industri Muzik pada 2001. Album Kamikaze – Kontroversi berjaya memenangi kategori bagi Album Rock Terbaik 2001.

Namun, kini segala-galanya telah berubah. Semua itu sudah berlalu buat selebriti berusia 35 tahun ini apabila menerima hidayah yang benar-benar telah mengubah diri beliau. Ia merupakan satu penghijrahan besar buat diri Sham. Perubahan diri beliau dapat dilihat dari segi penampilan Sham yang jauh lebih bersopan berbanding sebelum ini, yang lebih gemar bergelang dan bersubang. Malah, setiap butir bicara yang lahir dari bibirnya lebih berkisarkan tentang keindahan islam, ilmu akhirat dan kata-kata yang mengajak ke arah kebaikan. Apabila tiba waktu solat, jika tiada halangan, beliau akan berusaha untuk berjemaah di masjid.

Berbicara tentang karier seninya pula, Sham Kamikaze akan lebih melakukan kerja-kerja di belakang tabir dan akan menarik diri dari dunia hiburan jika dikurniakan rezeki di dalam bidang berbeza. Selain membaca kitab dan mempelajari agama dengan lebih mendalam, Sham juga sibuk memenuhi undangan pelbagai pihak yang ingin mengetahui tentang pengalaman beliau. Jika tidak bertentangan dengan jadual yang telah diaturkan, Sham juga bersedia menerima undangan di mana-mana sahaja termasuk Sabah dan Sarawak.

Aktiviti-aktiviti terkini Sham Kamikaze boleh diikuti melalui laman Twitter Sham Kamikaze dan Facebook Sham Kamikaze.

nasyidkini.com.my