Wednesday 4 January 2012

Kapal perang Iran dan Amerika muncul di Selat Hormuz



TEHERAN - Sengketa antara Iran dengan Amerika Syarikat bertambah buruk, kelmarin, dengan kehadiran kapal-kapal perang dari kedua-dua pihak di Selat Hormuz - laluan strategik bagi kapal-kapal tangki minyak.


Teheran telah mengancam akan menutup Selat Hormuz dan menimbulkan kemarahan Amerika.

Pengawal Revolusi Iran menolak amaran tentera Amerika yang membantah penutupan selat itu dan berkata yang mereka akan mengambil tindakan tegas demi mempertahankan kepentingan Iran.

[Gambar kanan - Kapal selam pasukan laut ran kelihatan muncul di Selat Horuz Gambar kiri bawah pula kapal-kapal perang Amerika menuju selat tersebut]

Jurucakap Jabatan Negera Amerika, Cik Victoria Nuland, kelmarin, berkata Iran telah mempamerkan kelakuan tidak rasional dengan mengancam menutup selat itu.

'Kita hanya dapat meneka bahawa mereka mula rasa tersepit akibat sekatan antarabangsa dan tekanan yang memuncak terhadap sektor minyak mereka dan ini menyebabkan mereka bertindak balas,' katanya.

Kata-kata tegas Amerika itu disampaikan sedang dua kapal perang negara itu memasuki zon kawasan kapal tentera laut dan pesawat Iran sedang melakukan latihan perang selama 10 hari yang bertujuan menunjukkan kekuasaan tentera Teheran.

Namun, seorang jurucakap tentera laut Amerika, kemudian berkata bahawa kapal induk pesawat udara USS John C. Stennis dan kapal misil USS Mobile Bay berjaya melalui kawasan itu Selasa lalu tanpa sebarang insiden dalam operasi biasa yang telah dirancangkan.



 Minggu ini, Timbalan Presiden Iran, Encik Mohammad Reza Rahimi, memberi amaran bahawa tidak setitis minyak pun akan melepasi Selat Hormuz jika Barat meneruskan sekatan tambahan terhadap Iran kerana melaksanakan program nuklear.

Amaran itu disokong Komander Tentera Laut Iran, Laksamana Habibollah Sayari, yang mengatakan adalah sesuatu yang amat mudah menutup selat itu.

Antara sebab utama Amerika mengekalkan kehadiran tentera lautnya di Teluk Parsi adalah bagi memastikan tiada halangan bagi pengangkutan minyak di situ.

Iran, yang sudah pun dikenakan beberapa pusingan sekatan kerana program nuklearnya, telah berkali-kali menyatakan ia akan menjadikan Selat Hormuz sebagai sasaran jika ia diserang atau ekonominya disekat.

Tindakan sedemikian boleh menghuru-harakan pasaran minyak dunia, mengganggu ekonomi dunia.

Namun, para penganalisis mengatakan Iran tidak mungkin mengambil langkah drastik itu kerana ia juga mengharapkan laluan itu bagi eksport minyaknya.

Semenatar itu, Amerika juga telah menandatangani perjanjian bernilai AS$29.4 bilion ($38.22 bilion) untuk menjual 84 jet pejuang F-15 baru kepada Arab Saudi.

Menurut pentadbiran Presiden Amerika, Encik Barack Obama, langkah itu akan mengukuhkan keselamatan di Teluk Parsi, sedang ketegangan semakin memuncak dengan Iran.

Perjanjian itu merupakan penjualan senjata paling mahal oleh Amerika kepada negara asing.

Perjanjian itu dimeterai secara rasmi Sabtu lalu, beberapa hari sebelum Iran mengulangi ancamannya akan menutup Selat Hormuz sebagai tindak balas kepada sekatan ekonomi oleh Amerika dan negara-negara Eropah terhadap program nuklear Iran. -- AFP, Reuters.

buletinonline